Saturday, November 5, 2011

Pamela Gadisku

Pamela. Seindah nama, memang jelita sangat di mata aku. Putih melepak tambah pulak anak matanya yang biru bak air laut. Memang memukau!

Tak di nafikan, diawal perkenalan aku memang agak menyampah dengan minah kacukan ni. Sudah la sombong, garang pulak tu.

Aku pun tak tahu Pak Incik aku kutip mana Si Pamela ni. Tak cukupkah dengan adanya aku dan Garf menemani Pak Incik. Arghh..aku mula runsing memikirkan hari-hari mendatang.

Sekarang, dengan adanya Pamela, aku dan Garf mula tersisih. Sebagai senior, kami diarahkan untuk mengalah dalam semua perkara. Singgahsana aku kini milik Pamela, makan kami mula dicatu, maklumlah sekarang kan sudah bertiga. Dan yang paling ketara Pak Incik mula lebih-lebihkan Pamela dalam setiap perkara. Pak Incik tak adil!

Aku mula tertekan dengan situasi ni. Pamela harus disingkirkan, atau aku yang tersingkir. Diam-diam aku mula memasang dendam pada Si jelita Pamela.

Hari yang ditunggu-tunggu menjelma akhirnya. Pak Incik outstation, yahuu! Aku mula memasang strategi. Selepas sarapan, aku mengajak Pamela ke lombong tidak jauh dari rumah Pak Incik. Aku janjikan sesuatu yang indah untuk Pamela di situ. Takjub, Pamela menurut! Tanpa mencurigai aku.

Setibanya kami di lombong, aku terus mendorong Pamela sekuat hati. Pamela terkejut. Namun sudah terlambat, melayang tubuh kecilnya ke dalam lombong. Dan aku terus berlari pulang. Sekuat hati sambil telingaku menangkap sayup-sayup  suaranya meminta tolong. Tanpaku sedari, air mataku merembes laju, selaju larianku.

“Maafkan aku Pamela”bisik hati kecilku.

Aku tiba dirumah tercungap-cungap. Garf memerhatikan aku penuh curiga. Mana tidaknya, keluar tadi berdua tetapi aku pulang bersendirian. Namun aku pura-pura tidak mengerti. Terus aku rebahkan diri, aku ingin melupakan segala yang terjadi sebentar tadi. Aku berharap, apabila aku bangun keadaan menjadi seperti sediakala.

Aku bingkas bangun apabila telingaku menangkap bunyi bising enjin kereta Pak Incik. Tepat pada waktu makan tengah hari Pak Incik ku tiba. Terus aku berlari mendapatkan Pak Incik seperti kebiasaannya.

Namun hancurnya hatiku apabila Pak Incik memanggil-manggil Pamela.

“Dasar anak kutip tak tahu diri!”bentak hati kecilku.

Namun Pamela tetap tak kunjung tiba. Pak Incik memanggil dan terus memanggil nama Pamela. Aku merenung wajah Pak Incik kosong.

“ya Allah!”tiba-tiba aku kembali waras. Bagaimana aku boleh terlupa apa yang telah aku lakukan pada Pamela. Patutlah Garf memandangku ketika Pak Incik tercari-cari Pamela.
Aku kembali resah. Takut-takut perbuatanku dihidu oleh Pak Incik. Aku juga takut Garf menceritakan kecurigaannya terhadapku semasa ketiadaan Pak Incik. Aku memandang Garf yang diam membisu. Aku benar-benar yakin yang Garf  tidak sanggup untuk membelakangi aku dalam hal ini.

“kasihan Pamela, apalah nasibnya. Sudahlah yatim piatu, merempat pulak tu” Pak Incik bersuara.

“mungkin dia tersesat, tak tahu jalan pulang,”sampuk Mak Incik pula.

Ya Allah, apa yang telah aku lakukan? Zalimnya aku. Rasa bersalah mula menguasai hati. Aku begitu tamak sehinggakan aku sanggup membunuh insan yang tidak berdosa. Pamela sudah cukup menderita. Ketika dia ingin mengecapi sedikit kebahagiaan, aku pula menjadi penghalang.

Lantas aku berlari ke lombong. Mungkin Pamela masih di sana. Mungkin dia selamat. Aku benar-benar berharap Allah memberiku peluang kedua.

Namun segalanya sia-sia. Kelibat Pamela tidak kelihatan. Aku kembali kecewa. Rasa bersalah bertimpa-timpa.

“ya tuhan, apa yang patut aku buat” keluhku sambil menangis teresak-esak.

Aku menjenguk kembali ke dalam lombong, berharap Pamela muncul. Malang nasibku, aku tergelincir jatuh ke dalam air. Aku pantas memaut tebing, mengerah sepenuh tenaga untuk naik. Namun usahaku gagal.

Tebing yang ku paut runtuh, mungkin tidak kuat untuk menampung berat badanku. Aku mula berputus asa, mungkin ini hukum tuhan terhadap segala perbuatanku pada Pamela. Air lombong yang dingin menyesakkan pernafasanku. Aku sudah tidak mampu bertahan.
Tiba-tiba ku rasa tanganku dipaut kuat.

“Bis, cepat Bis. Lompat!” aku kenal suara lembut itu.

Dengan tenaga yang bersisa. Aku melompat ke tebing. Aku benar-benar lega apabila menyedari yang aku telah selamat. Lagi aku bersyukur melihat raut wajah penyelamatku, Pamela.

“maaf.” Walaupun sukar, namun terlontar jua apa yang berada di benakku. Hatiku benar-benar lega sekarang.

“terima kasih ya Allah.”hatiku menyebut.

Sambil beriringan pulang, aku memandang Pamela, berharap dia mengerti yang aku memang benar-benar insaf. Dan Pamela tersenyum manis sambil menggoyang-goyangkan ekornya. Indah sekali.. happy ending:)

story by: Bistik Si kucing gagah
tq to: Pak Incik, Garfield, & Pamela 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...