Bunyi dengungan nyamuk merimaskanku.
Aku capai kain yang sengaja disangkut dibahu, libas ke telinga berkali-kali.
Rimas. Kain yang basah dengan peluh itu kemudiannya disapu ke muka. Mengesat
peluh yang mencurah-curah. Aku merenung langit dibalik celahan pohon langsat
yang rendang. Terik mentari pagi menyambar muka. Mentari kian meninggi, aku
mesti segera habiskan kerjaku.
Tanganku kemudian ligat menyelak
daun salak yang berduri, mengintai gugusan buahnya yang hitam berkilat. Dari
segi saiz, sepatutnya gugusan ini sudah masak ranum. Parang di tangan aku
halakan ke tandan buah. Aku cungkil sebiji dan kupas kulitnya. Buah sebesar ibu
jari itu ku gigit sedikit.
“Puih, puih..” aku ludah kembali ke tanah.
“Kelat!” marahku kemudian.
Aku beralih ke
pokok lain. Pokok yang betul-betul berhadapan dengan anak sungai. Bunyi air
sungai yang mengalir tidak dapat menenangkan diri ini yang sedang giat
berperang dengan nyamuk. Aku menyambar pelepah salak yang sudah bertukar warna,
cantas dan campak ke dalam unggun api. Api yang agak marak tadi mengecil,
keluarlah asap yang berkepul-kepul.
‘Bagus, biar nyamuk ni lari lintang-pukang..’ aku tersenyum bangga.
‘Eh, nyamuk lari ke terbang?orang tua ni..’ kali ini, aku tersengih
sendiri.
Guni di tangan
hanya separuh penuh berisi buah salak. Kecewa apabila salak yang masak ranum
habis dikerjakan babi hutan. Adakalanya bukan babi hutan, tetapi budak-budak
kampung yang datang berkelah dan mandi-manda di sungai. Habis salakku
dikerjakan mereka yang lapar setelah sejuk berendam di sungai.
Sedang aku leka
mengerat tandan-tandan salak, derap langkah dari arah belakang menarik
perhatianku untuk berpaling. Cucuku yang baru tamat bersekolah melangkah laju ke
arahku. Sesekali dia menunduk mengelak pelepah salak yang berjuntai.
“Elok-elok jalan tu.. nanti randuk duri pulak..” tuturku separuh
jerit kearah gadis itu.
“Baik bos..” akurnya sambil mengangkat tabik hormat.
“Atuk, dah lewat ni.. opah panggil balik!” jeritnya kemudian, tak
sempat-sempat. Dia kemudiannya menghenyakkan punggung di atas batu yang sengaja
diletak dibawah pokok langsat rendang, buat duduk-duduk.
“Em, jom la kita balik!” ajakku kemudian. Setelah berjaya mencantas
tandan salak yang terakhir.
Bahang mentari
membakar seluruh kulitku yang terdedah. Beginilah kerja aku di kampung. Tidak
ke kebun salak, aku berkebun di rumah. Tanam terung, cabai, timun, adakalanya
jagung. Tetapi, baru-baru ini aku membantu anak sulongku di reban ayamnya.
Membantu mengendalikan ayam-ayamnya yang berates-ratus ekor.
Semuanya bermula
apabila aku menyatakan hasratku ingin bekerja sebagai jaga di tapak pembinaan.
Anak-anakku membantah keras. Mungkin mereka risau kesihatan aku terjejas.
“Ayah ingat ayah nak pergi interview jadi jaga tu la Pah..”
aku cuba menyuarakan hasratku kepada anak keduaku, Tipah.
“Dapat jugak ayah kumpul duit, nak buat gigi.. ayah sekarang, tak
boleh makan macam dulu dah..” rungut aku meminta pandangan.
“Interview jaga ayah? Ayah biar betul.. bukan senang kerja
tu ayah.. orang tidur, ayah tak.. bahaya pulak tu..” muka anak perempuanku itu
sedikit tegang. Dahi wanita yang menjangkau usia 40an itu sedikit berkerut.
“Kalau pun ayah nak cari duit, tak usahlah kerja macam tu. nanti
orang cakap kami abaikan mak ayah pula..” dia menyambung dengan nada sayu.
Aku mengerti, anak-anakku semuanya
telah berkeluarga. Masing-masing mempunyai tanggungan. Kerja mereka pula
biasa-biasa. Salah aku yang tak mampu memberi pendidikan yang sewajarnya. Jika tidak,
pasti mereka sudah hidup senang-lenang sekarang.
“Kalau ayah nak kerja sangat, ayah tolong abang nak?” tanyanya
kemudian.
Aku terpaksa akur
apabila anak-anak yang lain turut menentang keras rancanganku itu. Aku mengikut
cadangan mereka supaya membantu perniagaan anak sulungku, menternak ayam daging.
Aku adakalanya cemburu melihat teman-teman seusia ligat ke majlis-majlis ilmu,
mencari bekal menjelang usia senja ini. Namun, apa dayaku. Aku harus akur,
tidak mahu mengecewakan anak-anak.
Usai menunaikan
solat zohor di surau, aku bergegas pulang. Tidak mahu terlewat bersiap ke
reban. Setelah siap menukar pakaian, aku duduk di pangkin rumah, mengadap
hidangan tengah hariku. Aku cedok sayur rebung ke dalam pinggan yang berisi
nasi.
“Opahnya.. kan aku dah pesan, hiris rebungnya biar nipis.. aku mana
ada gigi nak kunyah..” rungutku apabila tidak berjaya melumatkan sayur rebung di dalam mulutku.
“Dah cukup nipis dah tu.. nipis lagi, potong jari la jawapnya..”
aku hanya diam apabila memang ternyata yang salah gigiku, bukan rebung, mahupun
tukang hiris rebung. Aku mengunyah sayur rebung dengan penuh kesukaran.
“Tanda-tanda umum hampirnya
saat kematian kita adalah seperti uban penuh di kepala, mata semakin kabur,
pendengaran pula kurang jelas, gigi pun gugur, sendi-sendi pun dah longgar..
itu tandanya, kubur dah memanggil-manggil kita..” kuliah maghrib Tok Guru
Kassim semalam amat berkesan di hatiku. Apalagi disaat aku menghadapi satu
persatu dari tanda-tanda tersebut. Aku termenung insaf.
Pin..pin.. Bunyi hon lori anak
sulungku mengejutkanku. Aku galas beg merah yang tersandar di tiang pangkin.
Aku berlari anak mendapatkan kain di tingkap rumah dan sangkutkan di bahuku.
Isteriku menggelengkan kepalanya sambil merenung pinggan nasiku yang seakan
tidak terusik. Biarlah, aku sudah tidak berselera menghadap sayur rebung yang
tak mampu ku jamah itu.
Aku masuk ke perut lori. Wajah
Syafie sedikit berkerut. Mungkin memikirkan anak-anak ayamnya yang mati
berpuluh-puluh ekor semalam dibaham ular sawa. Mungkin dia menyalahkanku kerana
pulang awal. Bukan selalu aku begitu. Aku pulang untuk mendengar kuliah. Sudah
lama rasanya tidak ke surau. Sudah lama tidak bertemu dengan teman-teman. Aku
rindu ingin berjemaah.
Aku menoleh kearahnya yang sedang
memandu. Gelisah apabila dia diam seribu bahasa. Matanya dilontar jauh ketengah
jalan. Dahinya masih berkerut. Mungkin menahan silauan matahari yang menembus
masuk dari cermin depan lori. Atau, mungkin dia marahkan aku. Perjalanan yang
biasanya sekejap, aku rasakan begitu lama.
Setibanya kami di
reban, aku terus menyertai pekerja-pekerja lain di dalam reban. Menuang dedak
ke dalam bekas makan anak ayam. Anak ayam yang sebesar penumbuk itu berkerumun
menghadap hidangan. Aku melangkah penuh hati-hati di celah ratusan anak ayam,
bimbang terpijak anak-anak ayam.
Hari ini aku
bercadang mahu pulang awal. Bibah, adik bongsuku memaklumkan tentang mesyuarat
keluarga yang akan diadakan pada malam ini. Mengingatkan angin Pie yang tidak
menentu, aku mengeluh panjang. Bagaimana aku mahu minta untuk pulang awal lagi
malam ini. Bungkam.
“Pie.. ayah kena balik
sekarang..” tuturku memberanikan diri setelah selesai tugasanku di reban.
“Awal ayah? Ada apa?” soalnya bernada tenang. Aku menarik nafas
lega.
“Mak Lang Bibah kamu panggil ke rumahnya..” ujarku.
“Saya pun ada dengar, katanya nak bahagikan tanah pusaka.. ayah
balik la..” balasnya kemudian.
Aku telah
memutuskan untuk tidak mengambil bahagian aku. Biarlah aku beralah supaya tidak
timbul pertelingkahan. Biarpun aku satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, aku
merasa menyerahkan bahagianku kepada adik-adik adalah jalan terbaik
memandangkan aku sudah tiada tanggungan, anak-anakku kesemuanya telah
berumahtangga.
“Ayah dapat yang mana?” Tipah lekas bertanya apabila aku bertandang
ke rumahnya pagi itu.
“Ayah bagi habuan ayah pada yang lain.. Nak buat apa, ayah dah ada
kebun salak, dah ada dusun durian, tapak rumah ayah tu pun cukup luas Pah..”
jelasku padanya.
“Ikut ayahlah..” berkerut dahinya. Aku tahu dia membantah. Tapi
keputusan aku muktamad.
Setelah perkabaran tentang
keputusanku itu sampai kepada ketiga-tiga orang anakku. Ternyata mereka sungguh
kecewa dengan tindakanku. Tipah, Syafie, dan Kalsom berkecil hati kerana aku
seperti mengabaikan hak mereka sebagai pewaris hartaku.
“Sudahlah kita susah, kenapa ayah tak terima saja bahagian ayah.
Bukan orang nak cakap apa pun, dah memang bahagian ayah kan?” protes Kalsom,
anak perempuanku yang bongsu.
“Anak cucu orang senang-lenang. Anak cucu ayah, merempat!” tambah Syafie.
“Saya dengar Mak Ucu dah bagi tanah tu pada anak-anak dia. Ayah memang
tak pernah fikirkan nasib anak-anak ayah kan?” sakit telingaku menahan amarah
anak-anakku sendiri. Aku hanya menunduk bisu.
Aku tidak pernah
menyangka yang tindakanku menolak tanah pusaka yang sepatutnya menjadi milikku
itu menimbul kemarahan mereka. Aku fikir yang anak-anakku tidak mahukannya.
Apalagi yang mampu ku lakukan ketika ini. Mahu minta kembali hak ku? Mana mungkin.
Di mana air mukaku sebagai seorang abang? Aku bingung.
Mahu atau tidak,
aku terpaksa menelan semuanya. Tetapi adakalanya aku terfikir, mengapa aku
sebagai ayah tidak berhak membuat keputusan semahuku. Segala apa yang aku buat,
selalu tidak kena di mata mereka.
Anak-anakku mula
menjauh. Kalau sebelumnya, setiap hari ada saja yang menelefon bertanya khabar.
Kini mahu mendengar suara seminggu sekali pun payah. Yang dekat pula kini
jarang-jarang menjengah. Marah benar pada ayah mereka yang tua ini. Adakalanya
aku kasihankan isteriku yang saban hari menunggu panggilan telefon dari mereka.
Cuti persekolahan
hampir saja melabuhkan tirai. Namun, suasana rumahku masih suram. Tiada
gelak-tawa anak cucuku seperti kebiasaan cuti sekolah. Isteriku lebih banyak
termenung di tangga hadapan rumah. Kadang-kadang dia merenung kosong ke arah
telefon. Aku tahu dia mengharap.
Lain pula denganku
yang merawat kerinduan dengan melayan anak-anak terungku di belakang rumah. Kemarau
yang melanda membuatkan anak-anak terungku takut-takut untuk membesar.
Batas-batas terung merekah teruk. Aku menyiram batas yang merekah itu
berkali-kali. Aku gemburkan kembali batas kecil itu.
“Cepat la besar. Boleh anak cucuku makan..” ujarku sambil
menepuk-nepuk debu pada daun anak terung itu yang merunduk hampir mencecah
tanah.
Teringatkan Tipah
yang gemar merebus terung. Terung sedap dibuat ulam cicah bersama sambal
belacan. Aku termenung lagi. Jika anak-anakku tahu yang tidak sekali pun kesukaan
mereka luput dari ingatanku, pasti mereka tidak akan biarkan aku begini. Di
tengah hangat bahang mentari, tubir mataku pecah.
Setelah penat
memanjakan anak terung, aku menapak ke dalam rumah. Kosong. Aku mencari kelibat
isteriku. Terlihat dia sedang berteleku di atas sejadah, selesai menunaikan
solat asar. Aku lihat air matanya jatuh mencurah-curah. Bersungguh-sungguh
benar dia menangis. Hatiku begitu terusik.
Selesai berwuduk, aku memanjat anak tangga
menuju ke ruang solat. Aku sujud lama. Banyak yang perlu diminta. Pada
usia-usia begini, seharusnya aku lebih kerap menambahkan amalan-amalanku.
Pesanan demi pesanan Tok Guru Kassim bermain di mindaku.
“Orang yang memelihara sembahyang lima waktu akan terhindar dari
seksaan kubur. Tetapi, bagi orang yang mengabaikannya, maka sewaktu dia mati,
mayatnya akan dihimpit kubur sehingga berselisih tulang-tulung rusuknya..” aku beristighfar panjang.
Selesai empat
rakaat solat wajib, aku berzikir dan bertahmid
memuji-muji kebesaran tuhan. Kemudian, tangan aku rapatkan menadah ke langit.
Aku berdoa panjang. Memohon keampunan, dan keselamatan.
“Tuhan sebaik-baik tempat mengadu..” pesanan guru yang banyak
berjasa itu tidak pernah aku lupakan. Disaat aku mengadu tentang kerinduanku
itu, air mata merembes laju. Aku benci bertengkar dengan anak-anak. Aku tidak
suka berjauhan dengan mereka. Ya Tuhan, sesungguhnya aku sedang berduka.
Aku merebahkan
badan di atas sejadah usang. Lelahku berkebun masih bersisa. Mata ku pejam
rapat. Namun, tidak semena, nafasku menjadi sesak. aku bingkas dan gulungkan
sejadah. Kembali meletakkan kepala di atas lipatan sejadah. Mata ku pejam
kembali.
Namun, tidak
berkesan. Nafasku berombak-ombak. Aku terkapai-kapai menahan sakit. Dada ini
terasa bagai mahu meletup. Dalam kepayahan, aku menyeru nama isteriku. Dia tergopoh-gapah
datang bersama senduk di tangan.
Dicapainya minyak
angin dan dilumurkan padaku yang sudah tidak berbaju. Tangannya hangat
menggosok-gosok dadaku, tetapi tidak sedikit pun dapat mengurangkan
kesakitanku. Aku meraung kesakitan. Isteriku meluru ke tingkap dan menjerit
memanggil jiran-jiran. Teruk sangatkah keadaanku? Aku ingin melarangnya, namun
suaraku tersekat dikerongkong.
Aku
menumbuk-numbuk dada. Seperti ada sesuatu yang menyesakkanku di situ. Seluruh
badanku basah dengan peluh. Satu persatu
wajah bertandang di hadapanku. Air mata yang sudah kering tadi, mengalir
kembali. Sudah beberapa jam aku menahan kesakitan yang tiada penghujung.
“Sabar bang, mengucap..” ujar si isteri menahan sebak. Dia berusaha
menahan tanganku dari terus menumbuk dada.
“Ayah.. sabar ayah..” Aku mencari dari mana datangnya suara Tipah.
Tipah kini berada tepat di hujung kakiku.
Aku renung satu persatu wajah yang
mengerumuniku. Wajah cemas mereka cuba ku amati. Kesemua mereka aku kenal.
Jiran tetangga, saudara mara, kenalan rapat serta ketiga-tiga anakku. Mengapa
mereka ke mari? Adakah aku tenat? Tetapi rasa sakit ini sememangnya kian
memuncak. Urat-uratku menegang. Aku menggigil menahan sakit.
“Ya Tuhan, sakitnya! Aku nak mati dah ni..” lirih suaraku keluar
dalam kepayahan.
“Jangan cakap macam tu ayah.. Ingat Tuhan!” Pie di sebelahku pula
bersuara. Aku merenungnya sayu. Kalsom yang duduk bertentangan dengannya
mengurut-ngurut dadaku bersama air mata yang lebat menghujani pipi. Ternyata
sangkaanku meleset. Mereka tidak pernah membuangku.
“Mati dah aku kali ni..” ujarku lagi, memberitahu. Namun kali ini tiada
siapa yang mendengar.
Tipah menggantikan
tempat ibunya memangku kepalaku. Sayup-sayup terdengar kalimah syahadah di
corong telingaku. Aku mengamati wajah-wajah di hadapanku silih berganti. Syafie,
Tipah dan Kalsom. Doaku makbul. Seluruh anak cucuku berhimpun di hadapanku
sekarang. Aku genggam erat tangan isteriku disaat kesakitan menjalar ke pelusuk
tubuh. Ingin meminta sedikit kekuatan. Tiba-tiba, jantungku bagai disentap
kuat.
“Ayah!” telingaku sempat menangkap jeritan Tipah sebelum mata
tertutup rapat dan tidak mampu ku buka lagi.
Suara tangisan
memenuhi ruang, saat tanganku terkulai di atas ribaan isteri. Selamat tinggal kebun
salak. Selamat tinggal anak ayam. Selamat tinggal batas terung. Yang pasti,
selepas ini aku tidak akan bertengkar lagi dengan anak-anak. Semoga aku
sentiasa dekat di hati mereka. Kemudian, bergema alunan Surah Yasin dari ruang tempat kembalinya seorang hamba kepada
Pencipta.