Sunday, August 5, 2012

berpantun kasih

pertandingan berbalas pantun merebut gelaran jari pantas menaip mesej antara aku-abang

lepas zohor goreng bawal,
esok sahur bangkit awal.

bila merajuk hati sakit,
masalahnya mu susah nak bangkit.

naik rakit cari lala,
payah bangkit abang miskol la..

rama-rama tak dak bulu,
miskol lama-lama dah berbulu!

balik ke hulu, jalannya teruk,
toksah la berbulu, nak jadi beruk?

jalan teruk, cukup payah,
mu jadi la beruk, boleh tolong ayah.

nak terjun paya, nanti dulu,
apa pulak saya, mu yang berbulu..

nak terjun paya, terjun je la,
mu yang beria, redha je la..

pat pat siku lipat,
toksah bunyi, tido la cepat!

bawak tuala terjun paya,
nasib mu gila, duk layan saya..

buat cucur, tak letak gula,
memang keja doktor, layan orang gila.

angkut balak, nak buat meja,
sejak bila pulak mu tukar kerja?

makan cakoi, jadi bodo,
dah la oi, gi la tido..

siapa pemenang? hehe..

Saturday, August 4, 2012

Hujan


Langit yang mendung itu, aku renung kosong. Sebentar lagi pasti hujan turun. Kata orang, hujan adalah rahmat. Rahmat yang turunnya menyegarkan pokok-pokok. Rahmat yang memenuhkan air pada liku-liku sungai. Ramai yang begitu sukakan hujan. Aku tidak pasti yang aku juga begitu. Aku dapat membayangkan keadaanku sebentar nanti, disaat ‘rahmat’ itu turun. Pasti aku menggigil menahan kesejukkan disamping perut yang berkeroncong kelaparan.
“Ah, apa yang indah hujan!” akal jahatku membuat tafsiran.
“Setiap yang Tuhan ciptakan itu, sudah pasti ada kebaikkannya. Tuhan tidak ciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Malah, musibah dan ujian pun ada hikmahnya.” Pesan ibu suatu ketika dahulu masih terngiang-ngiang di telingaku.
            Ibuku sangat tabah. Membesarkan aku dan adik dalam serba kepayahan. Makan dan tidur kami tidak menentu. Kami tidur beralaskan kertas kotak, berbumbungkan langit. Namun, ketika itu aku rasa duniaku begitu selamat. Kerana aku punya ibu. Sehinggalah disaat aku melihat ibu dirempuh kereta . Ketika itu aku tahu, aku tidak punya siapa lagi, selain adik. Aku perlu menggantikan tempat ibu, membesarkan adikku.
            Aku melangkah lemah menuju ke belakang deretan kedai. Di lorong kelam itulah singgahsana aku dan adik. Aku berbaring pada alas tidurku, cuba menenangkan perut yang berkeroncong. Dari jauh kelihatan adik juga melangkah longlai kearahku. Lemah sekali. Mungkin nasibnya hari ini sepertiku, gagal mencari makanan untuk mengisi perut.
            Adik merebahkan badannya di sebelahku. Ternyata dia lemah sekali. Aku usap kepalanya penuh perhatian.
“ahh..” jeritannya mengejutkanku. Aku mengamati kepalanya. Ada darah disitu. Atas dahinya bengkak. Parah. Adikku pasti dipukul orang.
            Belum sempat aku selesai meneliti segenap tubuh lesu itu, hujan turun mencurah-curah, lebat sekali. Aku mengajak adik menyeberangi longkang besar. Di situ, sedikit terlindung. Dia menggeleng lemah. Aku tahu dia sudah tidak berdaya. Aku menutupi tubuhnya dengan alas tidurku.
Hujan semakin menggila. Tubuhku basah kuyup. Aku menggigil kesejukkan. Mataku pedih melawan titisan air hujan. Tiada pilihan, aku sudah tidak mampu melawan hujan durjana ini. Yang pasti, jika aku terus di sini, aku pasti terkorban. Aku mengumpul tenaga yang bersisa dan melompat ke seberang longkang. Dari kejauhan, aku melihat sekujur tubuh lesu adik yang dilitupi kertas kotak. Hatiku digigit pilu.
“Bertahanlah adik..” aku meratap sedih.
            Aku menanti penuh pengharapan. Berharap hujan segera berhenti. Aku merintih pada hujan. Namun, rintihanku tidak dihiraukan. Hujan tetap bongkak. Tetap lebat mengisi ruang-ruang lopak di tengah lorong kelam. Sesekali tiupan angin membawa titisan hujan itu kearahku. Aku mengelak. Takut tubuhku dijamah tempias keangkuhannya. Dentuman guruh serta kilat yang sabung-menyabung menambah rasa kebencianku pada hujan.
            Tatkala hujan pergi, hari sudah jauh malam. Aku melompat dan menapak kearah adik. Tubuh kecil itu menggigil. Adikku sangat kuat. Aku berbaring sebelahnya tanpa alas. Menyedari yang dia benar-benar kesejukkan, aku memeluknya erat. Kami sama-sama menanti pagi menjelma. Menunggu ketibaan mentari pagi.
            Pagi itu, aku memulakan langkah penuh semangat. Apa yang pasti, aku perlu cepat-cepat mendapatkan makanan buat adik. Dia demam teruk, hidungnya merah berair. Badannya panas. Aku bimbang, jika perutnya lambat diisi. Demamnya kian parah.
            Kakiku terhenti di sebuah gerai makan. Mataku melilau. Aroma pelbagai masakan berjaya membatukan aku sebentar di situ. Namun, tidak lama kemudian, aku kembali melangkah apabila terkenangkan adikku yang kelaparan. Bagaimana cara untuk aku mendapatkan makanan di situ? Aku merangka-rangka rancangan.
            Aku tidak lincah untuk berlari. Jika tertangkap mencuri, pasti aku akan dipukul separuh mati. Gerun membayangkan keadaan diriku ketika itu. Aku tidak sanggup. Aku tidak seberani adik. Aku bingkas menapak ke tong sampah besar yang terletak di belakang gerai makan itu. Di situ, pasti banyak sisa-sisa makanan.
            Aku menarik keluar bungkusan plastik yang sederhana besar. plastik yang agak berbau itu aku selongkar. Malang. Plastik hanya di penuhi kulit-kulit siput dan kerang. Separuh tenaga aku untuk mengangkat plastik busuk itu, ternyata sia-sia.
            Tetap tidak mengalah, aku tarik bungkusan plastik yang seterusnya. Bungkusan itu sedikit terburai. Bau hanyirnya tetap serupa dengan bungkusan plastik yang pertama tadi. Aku menahan rasa mual. aku menyelongkar lagi. Namun, yang ada hanya perut-perut ikan yang sudah berulat. Aku kecewa lagi. Hari kian meninggi. Aku mula resah.
            Aku membawa langkah ke gerai makan tadi. sememangnya aku tidak punya pilihan. Mencuri? Memang aku tidak pandai. Makanan yang selalu aku bawa pulang adalah dari simpati orang. Otakku ligat mencari helah. Simpati orang? Aku bergerak masuk ke dalam gerai dengan penuh harapan. Moga-moga ada yang bersimpati terhadap diri ini.
            Aku menuju ke meja makan yang paling hampir. Di situ kelihatan dua pemuda yang sedang rancak berbual. Aku berhenti di situ, mendongak kepala ke arah mereka. Sesekali mereka menyuap makanan dan kembali berbual. Masih tidak menghiraukan aku.
“Ah, pura-pura tak nampak pula!” bentak aku sambil berlalu.
            Di suatu sudut yang lain, mataku terpukau melihat hidangan yang memenuhi meja. Aku menelan air liur berkali-kali.
‘Ambil sedikit, tak apa-apa mungkin..’ fikirku. Aku nekad lalu menyambar seketul ayam goreng.
“Tak guna!” jerkahan itu mengejutkan aku.
“Binatang!” aku terus membuka langkah seribu tatkala tukang masak itu mengejarku.
            Aku berlari sepantas mungkin. Tanpa menoleh, aku atur langkah panjang-panjang. Berkali-kali kakiku tersadung batu jalan, aku tidak peduli. Terus berlari sekuat hati dan ingin segera mendapatkan adik.
            Setibanya di lorong, aku memerlahankan langkah. Sesekali aku menoleh, memastikan yang aku sudah selamat. Lorong itu kelam sekali. Langit kembali mendung.  Mata meliar mencari adik. Aku lihat adik. Dia masih di situ, di tempat yang sama seperti sewaktu aku tinggalkan dia pagi tadi. Masih berbaring lesu.
            Adik ku hampiri. Matanya terpejam rapat. Mungkin dia lelah menantiku saban hari. Aku mengusap lembut kepalanya. Dia masih begitu. Lenanya tidak terganggu dengan sentuhanku.  
“Adik, bangun..” panggilku perlahan sambil menggoncang lembut tubuhnya. Tiada tindak balas.
“Adik..” panggilku lagi. Namun, dia tetap kaku. Aku pegang tangannya. Sejuk dan kaku. Aku tampar mukanya berkali-kali. Dia tetap begitu.
“Adik..” aku mula meraung.
            Rintik-rintik hujan mula turun bersama air mata di pipiku. Hidupku terasa kosong. Aku sudah tidak punya siapa-siapa lagi. Aku campak ayam goreng ke atas tanah. Aku renung adik dan ayam goreng silih berganti.
‘Kalaulah aku cepat-cepat pulang, kalaulah aku tidak berlengah mencari makanan..’ aku mula menyalahkan diri sendiri.
            Hujan semakin lebat. Aku tetap di samping adik. Tidak berganjak walau setapak. Biarlah, aku sudah muak dengan hujan. Tiada apa yang perlu aku takutkan lagi. Titisan hujan, guruh, kilat, mahu pun angin ribut, biarkan. Aku benar-benar nanar dengan kehilangan adik tersayang. Aku melabuhkan diri sebelah adik yang sudah kaku. Mata ku pejam rapat. Aku mahu pergi bersama adik.
“Mati ke kucing ni ayah?” telingaku kemudian menangkap bunyi suara manusia. Aku buka mata perlahan.
“Yang seekor ni hidup lagi..” lelaki itu menunding jari kearahku.
“Man pegang yang hidup ni ya, yang mati ini biar ayah bawa..” tambahnya lagi.
“Buat apa?” si anak bertanya kembali.
“Kita bela.. dan yang mati ni, tanamlah..” jawab si ayah.
            Tubuhku diangkat dan dipeluk erat. Begitu juga dengan tubuh kaku adik. Lelaki itu mengangkat adik dengan cermat. Mereka kemudian berlari masuk ke dalam kereta. Tubuhku yang basah kuyup dilap dengan kain. Aku di baringkan di atas riba. Kepalaku diusap lembut. Pertama kali aku mendapat layanan yang begitu istimewa.
            Mataku mencuri pandang keluar tingkap kenderaan yang sedang bergerak itu. Hujan masih mencurah-curah. Namun hujan kali ini tidak sedikit pun mengganggu ketenangan aku di atas ribaan tuan baruku. Benar kata ibu, Tuhan tidak ciptakan sesuatu dengan sia-sia. Seperti hujan ini, yang menemukan aku dengan kehidupan baru.
‘Tapi, adik..’ air mata aku mengalir kembali saat pandangan terarah pada sekujur tubuh yang terbaring di sebelahku.
Kali ini aku membiarkan saja tangisanku berpanjangan. Biarlah tangisan ini menjadi tangisan terakhir dalam episod dukaku. Aku terus menangis bersama usapan demi usapan lembut yang singgah pada badanku kerana aku berjanji, selepas ini, aku tidak akan menangis lagi.

Makbul


Bunyi dengungan nyamuk merimaskanku. Aku capai kain yang sengaja disangkut dibahu, libas ke telinga berkali-kali. Rimas. Kain yang basah dengan peluh itu kemudiannya disapu ke muka. Mengesat peluh yang mencurah-curah. Aku merenung langit dibalik celahan pohon langsat yang rendang. Terik mentari pagi menyambar muka. Mentari kian meninggi, aku mesti segera habiskan kerjaku.
Tanganku kemudian ligat menyelak daun salak yang berduri, mengintai gugusan buahnya yang hitam berkilat. Dari segi saiz, sepatutnya gugusan ini sudah masak ranum. Parang di tangan aku halakan ke tandan buah. Aku cungkil sebiji dan kupas kulitnya. Buah sebesar ibu jari itu ku gigit sedikit.
“Puih, puih..” aku ludah kembali ke tanah.
“Kelat!” marahku kemudian.
            Aku beralih ke pokok lain. Pokok yang betul-betul berhadapan dengan anak sungai. Bunyi air sungai yang mengalir tidak dapat menenangkan diri ini yang sedang giat berperang dengan nyamuk. Aku menyambar pelepah salak yang sudah bertukar warna, cantas dan campak ke dalam unggun api. Api yang agak marak tadi mengecil, keluarlah asap yang berkepul-kepul.
‘Bagus, biar nyamuk ni lari lintang-pukang..’ aku tersenyum bangga.
‘Eh, nyamuk lari ke terbang?orang tua ni..’ kali ini, aku tersengih sendiri.
            Guni di tangan hanya separuh penuh berisi buah salak. Kecewa apabila salak yang masak ranum habis dikerjakan babi hutan. Adakalanya bukan babi hutan, tetapi budak-budak kampung yang datang berkelah dan mandi-manda di sungai. Habis salakku dikerjakan mereka yang lapar setelah sejuk berendam di sungai.
            Sedang aku leka mengerat tandan-tandan salak, derap langkah dari arah belakang menarik perhatianku untuk berpaling. Cucuku yang baru tamat bersekolah melangkah laju ke arahku. Sesekali dia menunduk mengelak pelepah salak yang berjuntai.
“Elok-elok jalan tu.. nanti randuk duri pulak..” tuturku separuh jerit kearah gadis itu.
“Baik bos..” akurnya sambil mengangkat tabik hormat.
“Atuk, dah lewat ni.. opah panggil balik!” jeritnya kemudian, tak sempat-sempat. Dia kemudiannya menghenyakkan punggung di atas batu yang sengaja diletak dibawah pokok langsat rendang, buat duduk-duduk.
“Em, jom la kita balik!” ajakku kemudian. Setelah berjaya mencantas tandan salak yang terakhir.
            Bahang mentari membakar seluruh kulitku yang terdedah. Beginilah kerja aku di kampung. Tidak ke kebun salak, aku berkebun di rumah. Tanam terung, cabai, timun, adakalanya jagung. Tetapi, baru-baru ini aku membantu anak sulongku di reban ayamnya. Membantu mengendalikan ayam-ayamnya yang berates-ratus ekor.
            Semuanya bermula apabila aku menyatakan hasratku ingin bekerja sebagai jaga di tapak pembinaan. Anak-anakku membantah keras. Mungkin mereka risau kesihatan aku terjejas.
“Ayah ingat ayah nak pergi interview jadi jaga tu la Pah..” aku cuba menyuarakan hasratku kepada anak keduaku, Tipah.
“Dapat jugak ayah kumpul duit, nak buat gigi.. ayah sekarang, tak boleh makan macam dulu dah..” rungut aku meminta pandangan.
Interview jaga ayah? Ayah biar betul.. bukan senang kerja tu ayah.. orang tidur, ayah tak.. bahaya pulak tu..” muka anak perempuanku itu sedikit tegang. Dahi wanita yang menjangkau usia 40an itu sedikit berkerut.
“Kalau pun ayah nak cari duit, tak usahlah kerja macam tu. nanti orang cakap kami abaikan mak ayah pula..” dia menyambung dengan nada sayu.
Aku mengerti, anak-anakku semuanya telah berkeluarga. Masing-masing mempunyai tanggungan. Kerja mereka pula biasa-biasa. Salah aku yang tak mampu memberi pendidikan yang sewajarnya. Jika tidak, pasti mereka sudah hidup senang-lenang sekarang.
“Kalau ayah nak kerja sangat, ayah tolong abang nak?” tanyanya kemudian.
            Aku terpaksa akur apabila anak-anak yang lain turut menentang keras rancanganku itu. Aku mengikut cadangan mereka supaya membantu perniagaan anak sulungku, menternak ayam daging. Aku adakalanya cemburu melihat teman-teman seusia ligat ke majlis-majlis ilmu, mencari bekal menjelang usia senja ini. Namun, apa dayaku. Aku harus akur, tidak mahu mengecewakan anak-anak.
            Usai menunaikan solat zohor di surau, aku bergegas pulang. Tidak mahu terlewat bersiap ke reban. Setelah siap menukar pakaian, aku duduk di pangkin rumah, mengadap hidangan tengah hariku. Aku cedok sayur rebung ke dalam pinggan yang berisi nasi.
“Opahnya.. kan aku dah pesan, hiris rebungnya biar nipis.. aku mana ada gigi nak kunyah..” rungutku apabila tidak berjaya melumatkan  sayur rebung di dalam mulutku.
“Dah cukup nipis dah tu.. nipis lagi, potong jari la jawapnya..” aku hanya diam apabila memang ternyata yang salah gigiku, bukan rebung, mahupun tukang hiris rebung. Aku mengunyah sayur rebung dengan penuh kesukaran.
 “Tanda-tanda umum hampirnya saat kematian kita adalah seperti uban penuh di kepala, mata semakin kabur, pendengaran pula kurang jelas, gigi pun gugur, sendi-sendi pun dah longgar.. itu tandanya, kubur dah memanggil-manggil kita..” kuliah maghrib Tok Guru Kassim semalam amat berkesan di hatiku. Apalagi disaat aku menghadapi satu persatu dari tanda-tanda tersebut. Aku termenung insaf.
Pin..pin.. Bunyi hon lori anak sulungku mengejutkanku. Aku galas beg merah yang tersandar di tiang pangkin. Aku berlari anak mendapatkan kain di tingkap rumah dan sangkutkan di bahuku. Isteriku menggelengkan kepalanya sambil merenung pinggan nasiku yang seakan tidak terusik. Biarlah, aku sudah tidak berselera menghadap sayur rebung yang tak mampu ku jamah itu.
Aku masuk ke perut lori. Wajah Syafie sedikit berkerut. Mungkin memikirkan anak-anak ayamnya yang mati berpuluh-puluh ekor semalam dibaham ular sawa. Mungkin dia menyalahkanku kerana pulang awal. Bukan selalu aku begitu. Aku pulang untuk mendengar kuliah. Sudah lama rasanya tidak ke surau. Sudah lama tidak bertemu dengan teman-teman. Aku rindu ingin berjemaah.
Aku menoleh kearahnya yang sedang memandu. Gelisah apabila dia diam seribu bahasa. Matanya dilontar jauh ketengah jalan. Dahinya masih berkerut. Mungkin menahan silauan matahari yang menembus masuk dari cermin depan lori. Atau, mungkin dia marahkan aku. Perjalanan yang biasanya sekejap, aku rasakan begitu lama.
            Setibanya kami di reban, aku terus menyertai pekerja-pekerja lain di dalam reban. Menuang dedak ke dalam bekas makan anak ayam. Anak ayam yang sebesar penumbuk itu berkerumun menghadap hidangan. Aku melangkah penuh hati-hati di celah ratusan anak ayam, bimbang terpijak anak-anak ayam.
            Hari ini aku bercadang mahu pulang awal. Bibah, adik bongsuku memaklumkan tentang mesyuarat keluarga yang akan diadakan pada malam ini. Mengingatkan angin Pie yang tidak menentu, aku mengeluh panjang. Bagaimana aku mahu minta untuk pulang awal lagi malam ini. Bungkam.
 “Pie.. ayah kena balik sekarang..” tuturku memberanikan diri setelah selesai tugasanku di reban.
“Awal ayah? Ada apa?” soalnya bernada tenang. Aku menarik nafas lega.
“Mak Lang Bibah kamu panggil ke rumahnya..” ujarku.
“Saya pun ada dengar, katanya nak bahagikan tanah pusaka.. ayah balik la..” balasnya kemudian.
            Aku telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian aku. Biarlah aku beralah supaya tidak timbul pertelingkahan. Biarpun aku satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, aku merasa menyerahkan bahagianku kepada adik-adik adalah jalan terbaik memandangkan aku sudah tiada tanggungan, anak-anakku kesemuanya telah berumahtangga.
“Ayah dapat yang mana?” Tipah lekas bertanya apabila aku bertandang ke rumahnya pagi itu.
“Ayah bagi habuan ayah pada yang lain.. Nak buat apa, ayah dah ada kebun salak, dah ada dusun durian, tapak rumah ayah tu pun cukup luas Pah..” jelasku padanya.
“Ikut ayahlah..” berkerut dahinya. Aku tahu dia membantah. Tapi keputusan aku muktamad.
Setelah perkabaran tentang keputusanku itu sampai kepada ketiga-tiga orang anakku. Ternyata mereka sungguh kecewa dengan tindakanku. Tipah, Syafie, dan Kalsom berkecil hati kerana aku seperti mengabaikan hak mereka sebagai pewaris hartaku.
“Sudahlah kita susah, kenapa ayah tak terima saja bahagian ayah. Bukan orang nak cakap apa pun, dah memang bahagian ayah kan?” protes Kalsom, anak perempuanku yang bongsu.
“Anak cucu orang senang-lenang. Anak cucu ayah, merempat!” tambah Syafie.
“Saya dengar Mak Ucu dah bagi tanah tu pada anak-anak dia. Ayah memang tak pernah fikirkan nasib anak-anak ayah kan?” sakit telingaku menahan amarah anak-anakku sendiri. Aku hanya menunduk bisu.
            Aku tidak pernah menyangka yang tindakanku menolak tanah pusaka yang sepatutnya menjadi milikku itu menimbul kemarahan mereka. Aku fikir yang anak-anakku tidak mahukannya. Apalagi yang mampu ku lakukan ketika ini. Mahu minta kembali hak ku? Mana mungkin. Di mana air mukaku sebagai seorang abang? Aku bingung.
            Mahu atau tidak, aku terpaksa menelan semuanya. Tetapi adakalanya aku terfikir, mengapa aku sebagai ayah tidak berhak membuat keputusan semahuku. Segala apa yang aku buat, selalu tidak kena di mata mereka.
            Anak-anakku mula menjauh. Kalau sebelumnya, setiap hari ada saja yang menelefon bertanya khabar. Kini mahu mendengar suara seminggu sekali pun payah. Yang dekat pula kini jarang-jarang menjengah. Marah benar pada ayah mereka yang tua ini. Adakalanya aku kasihankan isteriku yang saban hari menunggu panggilan telefon dari mereka.
            Cuti persekolahan hampir saja melabuhkan tirai. Namun, suasana rumahku masih suram. Tiada gelak-tawa anak cucuku seperti kebiasaan cuti sekolah. Isteriku lebih banyak termenung di tangga hadapan rumah. Kadang-kadang dia merenung kosong ke arah telefon. Aku tahu dia mengharap.
            Lain pula denganku yang merawat kerinduan dengan melayan anak-anak terungku di belakang rumah. Kemarau yang melanda membuatkan anak-anak terungku takut-takut untuk membesar. Batas-batas terung merekah teruk. Aku menyiram batas yang merekah itu berkali-kali. Aku gemburkan kembali batas kecil itu.
“Cepat la besar. Boleh anak cucuku makan..” ujarku sambil menepuk-nepuk debu pada daun anak terung itu yang merunduk hampir mencecah tanah.
            Teringatkan Tipah yang gemar merebus terung. Terung sedap dibuat ulam cicah bersama sambal belacan. Aku termenung lagi. Jika anak-anakku tahu yang tidak sekali pun kesukaan mereka luput dari ingatanku, pasti mereka tidak akan biarkan aku begini. Di tengah hangat bahang mentari, tubir mataku pecah.
            Setelah penat memanjakan anak terung, aku menapak ke dalam rumah. Kosong. Aku mencari kelibat isteriku. Terlihat dia sedang berteleku di atas sejadah, selesai menunaikan solat asar. Aku lihat air matanya jatuh mencurah-curah. Bersungguh-sungguh benar dia menangis. Hatiku begitu terusik.
            Selesai berwuduk, aku memanjat anak tangga menuju ke ruang solat. Aku sujud lama. Banyak yang perlu diminta. Pada usia-usia begini, seharusnya aku lebih kerap menambahkan amalan-amalanku. Pesanan demi pesanan Tok Guru Kassim bermain di mindaku.
“Orang yang memelihara sembahyang lima waktu akan terhindar dari seksaan kubur. Tetapi, bagi orang yang mengabaikannya, maka sewaktu dia mati, mayatnya akan dihimpit kubur sehingga berselisih tulang-tulung rusuknya..” aku beristighfar panjang.
            Selesai empat rakaat solat wajib, aku berzikir dan bertahmid memuji-muji kebesaran tuhan. Kemudian, tangan aku rapatkan menadah ke langit. Aku berdoa panjang. Memohon keampunan, dan keselamatan.
“Tuhan sebaik-baik tempat mengadu..” pesanan guru yang banyak berjasa itu tidak pernah aku lupakan. Disaat aku mengadu tentang kerinduanku itu, air mata merembes laju. Aku benci bertengkar dengan anak-anak. Aku tidak suka berjauhan dengan mereka. Ya Tuhan, sesungguhnya aku sedang berduka.
            Aku merebahkan badan di atas sejadah usang. Lelahku berkebun masih bersisa. Mata ku pejam rapat. Namun, tidak semena, nafasku menjadi sesak. aku bingkas dan gulungkan sejadah. Kembali meletakkan kepala di atas lipatan sejadah. Mata ku pejam kembali.
            Namun, tidak berkesan. Nafasku berombak-ombak. Aku terkapai-kapai menahan sakit. Dada ini terasa bagai mahu meletup. Dalam kepayahan, aku menyeru nama isteriku. Dia tergopoh-gapah datang bersama senduk di tangan.
            Dicapainya minyak angin dan dilumurkan padaku yang sudah tidak berbaju. Tangannya hangat menggosok-gosok dadaku, tetapi tidak sedikit pun dapat mengurangkan kesakitanku. Aku meraung kesakitan. Isteriku meluru ke tingkap dan menjerit memanggil jiran-jiran. Teruk sangatkah keadaanku? Aku ingin melarangnya, namun suaraku tersekat dikerongkong.
            Aku menumbuk-numbuk dada. Seperti ada sesuatu yang menyesakkanku di situ. Seluruh badanku basah dengan peluh.  Satu persatu wajah bertandang di hadapanku. Air mata yang sudah kering tadi, mengalir kembali. Sudah beberapa jam aku menahan kesakitan yang tiada penghujung.
“Sabar bang, mengucap..” ujar si isteri menahan sebak. Dia berusaha menahan tanganku dari terus menumbuk dada.
“Ayah.. sabar ayah..” Aku mencari dari mana datangnya suara Tipah. Tipah kini berada tepat di hujung kakiku.
Aku renung satu persatu wajah yang mengerumuniku. Wajah cemas mereka cuba ku amati. Kesemua mereka aku kenal. Jiran tetangga, saudara mara, kenalan rapat serta ketiga-tiga anakku. Mengapa mereka ke mari? Adakah aku tenat? Tetapi rasa sakit ini sememangnya kian memuncak. Urat-uratku menegang. Aku menggigil menahan sakit.
“Ya Tuhan, sakitnya! Aku nak mati dah ni..” lirih suaraku keluar dalam kepayahan.
“Jangan cakap macam tu ayah.. Ingat Tuhan!” Pie di sebelahku pula bersuara. Aku merenungnya sayu. Kalsom yang duduk bertentangan dengannya mengurut-ngurut dadaku bersama air mata yang lebat menghujani pipi. Ternyata sangkaanku meleset. Mereka tidak pernah membuangku.
“Mati dah aku kali ni..” ujarku lagi, memberitahu. Namun kali ini tiada siapa yang mendengar.
            Tipah menggantikan tempat ibunya memangku kepalaku. Sayup-sayup terdengar kalimah syahadah di corong telingaku. Aku mengamati wajah-wajah di hadapanku silih berganti. Syafie, Tipah dan Kalsom. Doaku makbul. Seluruh anak cucuku berhimpun di hadapanku sekarang. Aku genggam erat tangan isteriku disaat kesakitan menjalar ke pelusuk tubuh. Ingin meminta sedikit kekuatan. Tiba-tiba, jantungku bagai disentap kuat.
“Ayah!” telingaku sempat menangkap jeritan Tipah sebelum mata tertutup rapat dan tidak mampu ku buka lagi.
            Suara tangisan memenuhi ruang, saat tanganku terkulai di atas ribaan isteri. Selamat tinggal kebun salak. Selamat tinggal anak ayam. Selamat tinggal batas terung. Yang pasti, selepas ini aku tidak akan bertengkar lagi dengan anak-anak. Semoga aku sentiasa dekat di hati mereka. Kemudian, bergema alunan Surah Yasin dari ruang tempat kembalinya seorang hamba kepada Pencipta.

Monday, June 25, 2012

Di mana keadilan?

Ni bukan cerita pasal politik, parti, pilihanraya atau seangkatan dengannya. Sebagai seorang manusia yang normal, kita semua mahukan keadilan. Tak kiralah dari apa sudut pun. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya(hak). Itu adil yang sebenar.

Sebagai seorang anak, bohonglah kalau aku tak pernah suarakan ketidakpuasan hati terhadap mak & ayah aku.

“mak suka lebihkan abang..”

“ayah memang lebih sayang kak..”

            Teruk sungguh perangai. Tak tahu diuntung punya anak. Dah dibela sampai sebesar ni pun masih nak pertikaikan kasih sayang mak ayah lagi. Biasalah, anak manja. Tapi macam biasa, mak ayah akan bagi jawapan yang paling selamat..

“pandai-pandai je nak bandingkan kasih sayang orang..”

“eh, mana ada.. semua kami tak sayang..” hah?

Dan lagi pilu..

“memang.. mu sorang je yang mak ayah tak sayang..” apakah?

kahkahkah... nasib la kan. Masih tak berpuas hati, aku terus merancang untuk membongkar siapakah diantara kami yang bertahta di hati mak & ayah..

“mak, jom kita main game nak?” bersemangat betul aku.

“game apa? Malaslah..” ayat biasa mak la ni.

“saya sebut nama, mak kena jawab apa yang terlintas kat fikiran mak. Kena cepat, tak aci lambat.”mak senyap tak jawab.

“kak ji” ni akak sulong aku.

“suka triak (nangis)..” laju mak jawab. Aku sengih.

“abang?”

“keras, panas baran..” hahaha..

“kak”

“sensitive.. tahu-tahu dah meleleh dah (mengalir air mata)” lagi la aku meng ‘haha’ & meng ‘kahkah’ kan abang kak aku.

“saya?”aku semakin tak sabar.

“em.. susah nak cakap..” aik? Mana aci.

“betul-betul la mak..” aku mula la tak puas hati.

“betul la, mu selalu berubah-rubah..” ya la tu. Saja la tak nak aku touching. Nak kutuk, kutuk je la mak ni. Malu-malu kucing pulak.

“adik?” aku malas dah nak korek, teruskan je game merepek ni.

“menyampah..”dengan muka tak bersalah mak jawab. Adik yang duduk depan kami tarik muka.Hahaha.. padan muka dia.

            Memang tak dapat jawapan la macam ni. Memang aku perasan, mak dengan ayah layan kami dengan layanan berbeza. Bukan sikit punya beza.

            Contoh. Masa mak ayah pergi Mekah, kami semua beiri, siapa yang mak ayah selalu telefon. Kenyataannya, mak ayah lagi kerap telefon aku. Apa lagi, abang dengan akak-akak aku terus mempersoalkan hal ni.

            Tau apa yang mak jawab?

“mak tak boleh dengar suara yang lain, rasa cam nak nangis..”

Pergh.. makan dalam aku. tapi mak cover la jugakkan.

“Ikah suaranya tak mendayu-dayu sangat. Tak lembut macam yang lain..” ya la tu. Takkan suara abang pun lembut? Alasan..

Tapi betul la. Kalau aku pun memang tak tahan bila cakap dengan akak-akak aku yang ‘bersopan-santun’ tu. hahaha..

Dah malas nak panjangkan cerita ( tak larat nak karang dah), aku tak pernah sebenarnya menganggap yang mak ayah tak adil terhadap kami. Bukan senang nak memuaskan hati tiap-tiap sorang. Selagi mak ayah tak mengabaikan kita sebagai anak-anak, itu dah cukup adil.

Kita sendiri pun belum pasti dapat memberi hak mak ayah kita. Jadi jangan banyak cakap. Terima mak ayah kita seadanya mereka sepertimana mereka menerima kekurangan kita dengan hati terbuka.

Layanan yang berbeza adalah disebabkan kita berbeza antara satu sama lain. Ingat adil bukanlah memberi segalanya dengan sama rata, adil adalah memberi hak yang sepatutnya milik kita.

Saturday, March 31, 2012

sabar!

apabila kita tidak sabar dengan apa yang kita suka, 
maka bagaimana kita akan sabar atas apa yang kita tidak suka..

~Abu Sulaiman Ad-Darani~

Sunday, March 25, 2012

Semudah A B C

“A for Apple, A for Ant, A for Arrow” jerit aku sepenuh hati. 

Ingin menarik minat ‘putera-puteraku’ yang galak bermain di belakang kelas. Namun hanya seorang dua pelajar perempuan yang bersuara. Suara mereka tenggelem dek bisingnya pelajar lelaki yang sibuk ‘berpesta.’ Yang kelihatan mulut yang terkumat-kamit membaca perkataan di papan tulis.

“A for Apple, A for..” aku ulang kembali namun ayatku terhenti. 

 Raungan di belakang kelas memaksa aku untuk menoleh. Uwais sedang meraung sambil tangan kirinya menekup telinga. Aku pantas mendapat Uwais. 

“kenapa Uwais Putra?” tanya aku.

Uwais tidak menjawab malah meraung lebih kuat. Aku pantas menarik tangannya yang kuat menekup telinga kiri. Tiada luka, tiada darah, mahupun sedikit calar.

“kenapa Uwais, cakap dengan cikgu? Aqil, apa yang Aqil buat pada Uwais?” soalanku beralih kepada Aqil yang duduk di sebelah Uwais.

“Aqil, dia masukkan benda dalam telinga Uwais.” Jawab Uwais tersekat-sekat.

Aku terpana, lantas melihat ke dalam telinga anak murid aku. Suatu objek putih kecil dalam telinganya.

“Aqil masukkan apa ni Aqil?” tanyaku lagi. Aqil kemudian menunjukkan baki polestrin ditangannya.

“ya Allah, Aqil kenapa buat macam ni?” balasku kemudian sambil mengheret Uwais keluar kelas.

“yang lain, buka buku latihan dan siapkan.” Arahku kemudian apabila yang lain mula bangun untuk melihat rakan mereka.

Aku dengan pantas menelefon pengurus tadika untuk membawa Uwais ke klinik. Aku benar-benar lega apabila Uwais kembali ke sekolah dengan tersenyum.

Aku sebenarnya takut terjadi sesuatu yang lebih parah sewaktu sesi pembelajaran kerana aku sebetulnya tiada pengalaman mengajar langsung!

Seorang bekas pelajar Interior Architecture mengajar tadika. Memang tak pelik, tetapi tetap sukar untuk aku menjadi seperti guru-guru lain yang sememangnya dari bidang perguruan.

Sehingga kini, aku masih terus bersabar dengan kerja aku. Tetap cuba untuk ikhlaskan diri, sabarkan hati menempuh hari-hari yang mencabar & tak terduga. Anak muridku, sila beri kerjasama kepada teacher  kerana mendidik kalian bukanlah semudah teacher mengajar ABC..

Saturday, March 10, 2012

rumput yang hijau


Video ni khas buat budak-budak tadika.. 
yang bukan budak tadika tu, harap boleh ambil masa jap, 
transform jadi budak tadika..
hahaha:D



Saturday, March 3, 2012

silent reader

Buka Facebook, buka wall orang tersayang..
 jenguk status.. nak like ke tak? Nak kumen ke tak? Tak jadi.
 Tengok pulak DP.. 
ulang benda yang sama berkali-kali.

Buka blog beliau pulak. 
Baca entri terbaru. 
Oh..oh..dan terus meng-oh sambil mengangguk2 kepala.
 Ok, asal kau ok, aku pun ok:D

Ada tak yang sama perangai cam aku? Mesti la ada, kan..


Dalam hati: aku ada tak 'silent reader'?





Sunday, February 26, 2012

MukaTembok@MukaBuku

Hari ni tiba-tiba terasa rajin nak kodek-kodek facebook. Ulangkaji status-status lama.. Alahai, kasihan pada diri. Majority status cakap pasal lapar, makan,mengantuk, penat, tidur. ^^,

Ucapan terima kasih tidak terhingga buat facebook mobile yang telah merancakkan keaktifan saya berfacebook.. jutaan terima kasih juga buat kawan-kawan yang sudi melayani kerepekan saya di mukabuku itu.

.:Carta status paling merepek di awal tahun ini:.

#1

#2

#3

#4

#5

#6

#7

NotaKaki : cara print screen
1.    Tekan print screen
2.    Buka paint
3.    Tekan ctrl + v
4.    save
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...