Saturday, August 4, 2012

Hujan


Langit yang mendung itu, aku renung kosong. Sebentar lagi pasti hujan turun. Kata orang, hujan adalah rahmat. Rahmat yang turunnya menyegarkan pokok-pokok. Rahmat yang memenuhkan air pada liku-liku sungai. Ramai yang begitu sukakan hujan. Aku tidak pasti yang aku juga begitu. Aku dapat membayangkan keadaanku sebentar nanti, disaat ‘rahmat’ itu turun. Pasti aku menggigil menahan kesejukkan disamping perut yang berkeroncong kelaparan.
“Ah, apa yang indah hujan!” akal jahatku membuat tafsiran.
“Setiap yang Tuhan ciptakan itu, sudah pasti ada kebaikkannya. Tuhan tidak ciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Malah, musibah dan ujian pun ada hikmahnya.” Pesan ibu suatu ketika dahulu masih terngiang-ngiang di telingaku.
            Ibuku sangat tabah. Membesarkan aku dan adik dalam serba kepayahan. Makan dan tidur kami tidak menentu. Kami tidur beralaskan kertas kotak, berbumbungkan langit. Namun, ketika itu aku rasa duniaku begitu selamat. Kerana aku punya ibu. Sehinggalah disaat aku melihat ibu dirempuh kereta . Ketika itu aku tahu, aku tidak punya siapa lagi, selain adik. Aku perlu menggantikan tempat ibu, membesarkan adikku.
            Aku melangkah lemah menuju ke belakang deretan kedai. Di lorong kelam itulah singgahsana aku dan adik. Aku berbaring pada alas tidurku, cuba menenangkan perut yang berkeroncong. Dari jauh kelihatan adik juga melangkah longlai kearahku. Lemah sekali. Mungkin nasibnya hari ini sepertiku, gagal mencari makanan untuk mengisi perut.
            Adik merebahkan badannya di sebelahku. Ternyata dia lemah sekali. Aku usap kepalanya penuh perhatian.
“ahh..” jeritannya mengejutkanku. Aku mengamati kepalanya. Ada darah disitu. Atas dahinya bengkak. Parah. Adikku pasti dipukul orang.
            Belum sempat aku selesai meneliti segenap tubuh lesu itu, hujan turun mencurah-curah, lebat sekali. Aku mengajak adik menyeberangi longkang besar. Di situ, sedikit terlindung. Dia menggeleng lemah. Aku tahu dia sudah tidak berdaya. Aku menutupi tubuhnya dengan alas tidurku.
Hujan semakin menggila. Tubuhku basah kuyup. Aku menggigil kesejukkan. Mataku pedih melawan titisan air hujan. Tiada pilihan, aku sudah tidak mampu melawan hujan durjana ini. Yang pasti, jika aku terus di sini, aku pasti terkorban. Aku mengumpul tenaga yang bersisa dan melompat ke seberang longkang. Dari kejauhan, aku melihat sekujur tubuh lesu adik yang dilitupi kertas kotak. Hatiku digigit pilu.
“Bertahanlah adik..” aku meratap sedih.
            Aku menanti penuh pengharapan. Berharap hujan segera berhenti. Aku merintih pada hujan. Namun, rintihanku tidak dihiraukan. Hujan tetap bongkak. Tetap lebat mengisi ruang-ruang lopak di tengah lorong kelam. Sesekali tiupan angin membawa titisan hujan itu kearahku. Aku mengelak. Takut tubuhku dijamah tempias keangkuhannya. Dentuman guruh serta kilat yang sabung-menyabung menambah rasa kebencianku pada hujan.
            Tatkala hujan pergi, hari sudah jauh malam. Aku melompat dan menapak kearah adik. Tubuh kecil itu menggigil. Adikku sangat kuat. Aku berbaring sebelahnya tanpa alas. Menyedari yang dia benar-benar kesejukkan, aku memeluknya erat. Kami sama-sama menanti pagi menjelma. Menunggu ketibaan mentari pagi.
            Pagi itu, aku memulakan langkah penuh semangat. Apa yang pasti, aku perlu cepat-cepat mendapatkan makanan buat adik. Dia demam teruk, hidungnya merah berair. Badannya panas. Aku bimbang, jika perutnya lambat diisi. Demamnya kian parah.
            Kakiku terhenti di sebuah gerai makan. Mataku melilau. Aroma pelbagai masakan berjaya membatukan aku sebentar di situ. Namun, tidak lama kemudian, aku kembali melangkah apabila terkenangkan adikku yang kelaparan. Bagaimana cara untuk aku mendapatkan makanan di situ? Aku merangka-rangka rancangan.
            Aku tidak lincah untuk berlari. Jika tertangkap mencuri, pasti aku akan dipukul separuh mati. Gerun membayangkan keadaan diriku ketika itu. Aku tidak sanggup. Aku tidak seberani adik. Aku bingkas menapak ke tong sampah besar yang terletak di belakang gerai makan itu. Di situ, pasti banyak sisa-sisa makanan.
            Aku menarik keluar bungkusan plastik yang sederhana besar. plastik yang agak berbau itu aku selongkar. Malang. Plastik hanya di penuhi kulit-kulit siput dan kerang. Separuh tenaga aku untuk mengangkat plastik busuk itu, ternyata sia-sia.
            Tetap tidak mengalah, aku tarik bungkusan plastik yang seterusnya. Bungkusan itu sedikit terburai. Bau hanyirnya tetap serupa dengan bungkusan plastik yang pertama tadi. Aku menahan rasa mual. aku menyelongkar lagi. Namun, yang ada hanya perut-perut ikan yang sudah berulat. Aku kecewa lagi. Hari kian meninggi. Aku mula resah.
            Aku membawa langkah ke gerai makan tadi. sememangnya aku tidak punya pilihan. Mencuri? Memang aku tidak pandai. Makanan yang selalu aku bawa pulang adalah dari simpati orang. Otakku ligat mencari helah. Simpati orang? Aku bergerak masuk ke dalam gerai dengan penuh harapan. Moga-moga ada yang bersimpati terhadap diri ini.
            Aku menuju ke meja makan yang paling hampir. Di situ kelihatan dua pemuda yang sedang rancak berbual. Aku berhenti di situ, mendongak kepala ke arah mereka. Sesekali mereka menyuap makanan dan kembali berbual. Masih tidak menghiraukan aku.
“Ah, pura-pura tak nampak pula!” bentak aku sambil berlalu.
            Di suatu sudut yang lain, mataku terpukau melihat hidangan yang memenuhi meja. Aku menelan air liur berkali-kali.
‘Ambil sedikit, tak apa-apa mungkin..’ fikirku. Aku nekad lalu menyambar seketul ayam goreng.
“Tak guna!” jerkahan itu mengejutkan aku.
“Binatang!” aku terus membuka langkah seribu tatkala tukang masak itu mengejarku.
            Aku berlari sepantas mungkin. Tanpa menoleh, aku atur langkah panjang-panjang. Berkali-kali kakiku tersadung batu jalan, aku tidak peduli. Terus berlari sekuat hati dan ingin segera mendapatkan adik.
            Setibanya di lorong, aku memerlahankan langkah. Sesekali aku menoleh, memastikan yang aku sudah selamat. Lorong itu kelam sekali. Langit kembali mendung.  Mata meliar mencari adik. Aku lihat adik. Dia masih di situ, di tempat yang sama seperti sewaktu aku tinggalkan dia pagi tadi. Masih berbaring lesu.
            Adik ku hampiri. Matanya terpejam rapat. Mungkin dia lelah menantiku saban hari. Aku mengusap lembut kepalanya. Dia masih begitu. Lenanya tidak terganggu dengan sentuhanku.  
“Adik, bangun..” panggilku perlahan sambil menggoncang lembut tubuhnya. Tiada tindak balas.
“Adik..” panggilku lagi. Namun, dia tetap kaku. Aku pegang tangannya. Sejuk dan kaku. Aku tampar mukanya berkali-kali. Dia tetap begitu.
“Adik..” aku mula meraung.
            Rintik-rintik hujan mula turun bersama air mata di pipiku. Hidupku terasa kosong. Aku sudah tidak punya siapa-siapa lagi. Aku campak ayam goreng ke atas tanah. Aku renung adik dan ayam goreng silih berganti.
‘Kalaulah aku cepat-cepat pulang, kalaulah aku tidak berlengah mencari makanan..’ aku mula menyalahkan diri sendiri.
            Hujan semakin lebat. Aku tetap di samping adik. Tidak berganjak walau setapak. Biarlah, aku sudah muak dengan hujan. Tiada apa yang perlu aku takutkan lagi. Titisan hujan, guruh, kilat, mahu pun angin ribut, biarkan. Aku benar-benar nanar dengan kehilangan adik tersayang. Aku melabuhkan diri sebelah adik yang sudah kaku. Mata ku pejam rapat. Aku mahu pergi bersama adik.
“Mati ke kucing ni ayah?” telingaku kemudian menangkap bunyi suara manusia. Aku buka mata perlahan.
“Yang seekor ni hidup lagi..” lelaki itu menunding jari kearahku.
“Man pegang yang hidup ni ya, yang mati ini biar ayah bawa..” tambahnya lagi.
“Buat apa?” si anak bertanya kembali.
“Kita bela.. dan yang mati ni, tanamlah..” jawab si ayah.
            Tubuhku diangkat dan dipeluk erat. Begitu juga dengan tubuh kaku adik. Lelaki itu mengangkat adik dengan cermat. Mereka kemudian berlari masuk ke dalam kereta. Tubuhku yang basah kuyup dilap dengan kain. Aku di baringkan di atas riba. Kepalaku diusap lembut. Pertama kali aku mendapat layanan yang begitu istimewa.
            Mataku mencuri pandang keluar tingkap kenderaan yang sedang bergerak itu. Hujan masih mencurah-curah. Namun hujan kali ini tidak sedikit pun mengganggu ketenangan aku di atas ribaan tuan baruku. Benar kata ibu, Tuhan tidak ciptakan sesuatu dengan sia-sia. Seperti hujan ini, yang menemukan aku dengan kehidupan baru.
‘Tapi, adik..’ air mata aku mengalir kembali saat pandangan terarah pada sekujur tubuh yang terbaring di sebelahku.
Kali ini aku membiarkan saja tangisanku berpanjangan. Biarlah tangisan ini menjadi tangisan terakhir dalam episod dukaku. Aku terus menangis bersama usapan demi usapan lembut yang singgah pada badanku kerana aku berjanji, selepas ini, aku tidak akan menangis lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...