Saturday, August 4, 2012

Makbul


Bunyi dengungan nyamuk merimaskanku. Aku capai kain yang sengaja disangkut dibahu, libas ke telinga berkali-kali. Rimas. Kain yang basah dengan peluh itu kemudiannya disapu ke muka. Mengesat peluh yang mencurah-curah. Aku merenung langit dibalik celahan pohon langsat yang rendang. Terik mentari pagi menyambar muka. Mentari kian meninggi, aku mesti segera habiskan kerjaku.
Tanganku kemudian ligat menyelak daun salak yang berduri, mengintai gugusan buahnya yang hitam berkilat. Dari segi saiz, sepatutnya gugusan ini sudah masak ranum. Parang di tangan aku halakan ke tandan buah. Aku cungkil sebiji dan kupas kulitnya. Buah sebesar ibu jari itu ku gigit sedikit.
“Puih, puih..” aku ludah kembali ke tanah.
“Kelat!” marahku kemudian.
            Aku beralih ke pokok lain. Pokok yang betul-betul berhadapan dengan anak sungai. Bunyi air sungai yang mengalir tidak dapat menenangkan diri ini yang sedang giat berperang dengan nyamuk. Aku menyambar pelepah salak yang sudah bertukar warna, cantas dan campak ke dalam unggun api. Api yang agak marak tadi mengecil, keluarlah asap yang berkepul-kepul.
‘Bagus, biar nyamuk ni lari lintang-pukang..’ aku tersenyum bangga.
‘Eh, nyamuk lari ke terbang?orang tua ni..’ kali ini, aku tersengih sendiri.
            Guni di tangan hanya separuh penuh berisi buah salak. Kecewa apabila salak yang masak ranum habis dikerjakan babi hutan. Adakalanya bukan babi hutan, tetapi budak-budak kampung yang datang berkelah dan mandi-manda di sungai. Habis salakku dikerjakan mereka yang lapar setelah sejuk berendam di sungai.
            Sedang aku leka mengerat tandan-tandan salak, derap langkah dari arah belakang menarik perhatianku untuk berpaling. Cucuku yang baru tamat bersekolah melangkah laju ke arahku. Sesekali dia menunduk mengelak pelepah salak yang berjuntai.
“Elok-elok jalan tu.. nanti randuk duri pulak..” tuturku separuh jerit kearah gadis itu.
“Baik bos..” akurnya sambil mengangkat tabik hormat.
“Atuk, dah lewat ni.. opah panggil balik!” jeritnya kemudian, tak sempat-sempat. Dia kemudiannya menghenyakkan punggung di atas batu yang sengaja diletak dibawah pokok langsat rendang, buat duduk-duduk.
“Em, jom la kita balik!” ajakku kemudian. Setelah berjaya mencantas tandan salak yang terakhir.
            Bahang mentari membakar seluruh kulitku yang terdedah. Beginilah kerja aku di kampung. Tidak ke kebun salak, aku berkebun di rumah. Tanam terung, cabai, timun, adakalanya jagung. Tetapi, baru-baru ini aku membantu anak sulongku di reban ayamnya. Membantu mengendalikan ayam-ayamnya yang berates-ratus ekor.
            Semuanya bermula apabila aku menyatakan hasratku ingin bekerja sebagai jaga di tapak pembinaan. Anak-anakku membantah keras. Mungkin mereka risau kesihatan aku terjejas.
“Ayah ingat ayah nak pergi interview jadi jaga tu la Pah..” aku cuba menyuarakan hasratku kepada anak keduaku, Tipah.
“Dapat jugak ayah kumpul duit, nak buat gigi.. ayah sekarang, tak boleh makan macam dulu dah..” rungut aku meminta pandangan.
Interview jaga ayah? Ayah biar betul.. bukan senang kerja tu ayah.. orang tidur, ayah tak.. bahaya pulak tu..” muka anak perempuanku itu sedikit tegang. Dahi wanita yang menjangkau usia 40an itu sedikit berkerut.
“Kalau pun ayah nak cari duit, tak usahlah kerja macam tu. nanti orang cakap kami abaikan mak ayah pula..” dia menyambung dengan nada sayu.
Aku mengerti, anak-anakku semuanya telah berkeluarga. Masing-masing mempunyai tanggungan. Kerja mereka pula biasa-biasa. Salah aku yang tak mampu memberi pendidikan yang sewajarnya. Jika tidak, pasti mereka sudah hidup senang-lenang sekarang.
“Kalau ayah nak kerja sangat, ayah tolong abang nak?” tanyanya kemudian.
            Aku terpaksa akur apabila anak-anak yang lain turut menentang keras rancanganku itu. Aku mengikut cadangan mereka supaya membantu perniagaan anak sulungku, menternak ayam daging. Aku adakalanya cemburu melihat teman-teman seusia ligat ke majlis-majlis ilmu, mencari bekal menjelang usia senja ini. Namun, apa dayaku. Aku harus akur, tidak mahu mengecewakan anak-anak.
            Usai menunaikan solat zohor di surau, aku bergegas pulang. Tidak mahu terlewat bersiap ke reban. Setelah siap menukar pakaian, aku duduk di pangkin rumah, mengadap hidangan tengah hariku. Aku cedok sayur rebung ke dalam pinggan yang berisi nasi.
“Opahnya.. kan aku dah pesan, hiris rebungnya biar nipis.. aku mana ada gigi nak kunyah..” rungutku apabila tidak berjaya melumatkan  sayur rebung di dalam mulutku.
“Dah cukup nipis dah tu.. nipis lagi, potong jari la jawapnya..” aku hanya diam apabila memang ternyata yang salah gigiku, bukan rebung, mahupun tukang hiris rebung. Aku mengunyah sayur rebung dengan penuh kesukaran.
 “Tanda-tanda umum hampirnya saat kematian kita adalah seperti uban penuh di kepala, mata semakin kabur, pendengaran pula kurang jelas, gigi pun gugur, sendi-sendi pun dah longgar.. itu tandanya, kubur dah memanggil-manggil kita..” kuliah maghrib Tok Guru Kassim semalam amat berkesan di hatiku. Apalagi disaat aku menghadapi satu persatu dari tanda-tanda tersebut. Aku termenung insaf.
Pin..pin.. Bunyi hon lori anak sulungku mengejutkanku. Aku galas beg merah yang tersandar di tiang pangkin. Aku berlari anak mendapatkan kain di tingkap rumah dan sangkutkan di bahuku. Isteriku menggelengkan kepalanya sambil merenung pinggan nasiku yang seakan tidak terusik. Biarlah, aku sudah tidak berselera menghadap sayur rebung yang tak mampu ku jamah itu.
Aku masuk ke perut lori. Wajah Syafie sedikit berkerut. Mungkin memikirkan anak-anak ayamnya yang mati berpuluh-puluh ekor semalam dibaham ular sawa. Mungkin dia menyalahkanku kerana pulang awal. Bukan selalu aku begitu. Aku pulang untuk mendengar kuliah. Sudah lama rasanya tidak ke surau. Sudah lama tidak bertemu dengan teman-teman. Aku rindu ingin berjemaah.
Aku menoleh kearahnya yang sedang memandu. Gelisah apabila dia diam seribu bahasa. Matanya dilontar jauh ketengah jalan. Dahinya masih berkerut. Mungkin menahan silauan matahari yang menembus masuk dari cermin depan lori. Atau, mungkin dia marahkan aku. Perjalanan yang biasanya sekejap, aku rasakan begitu lama.
            Setibanya kami di reban, aku terus menyertai pekerja-pekerja lain di dalam reban. Menuang dedak ke dalam bekas makan anak ayam. Anak ayam yang sebesar penumbuk itu berkerumun menghadap hidangan. Aku melangkah penuh hati-hati di celah ratusan anak ayam, bimbang terpijak anak-anak ayam.
            Hari ini aku bercadang mahu pulang awal. Bibah, adik bongsuku memaklumkan tentang mesyuarat keluarga yang akan diadakan pada malam ini. Mengingatkan angin Pie yang tidak menentu, aku mengeluh panjang. Bagaimana aku mahu minta untuk pulang awal lagi malam ini. Bungkam.
 “Pie.. ayah kena balik sekarang..” tuturku memberanikan diri setelah selesai tugasanku di reban.
“Awal ayah? Ada apa?” soalnya bernada tenang. Aku menarik nafas lega.
“Mak Lang Bibah kamu panggil ke rumahnya..” ujarku.
“Saya pun ada dengar, katanya nak bahagikan tanah pusaka.. ayah balik la..” balasnya kemudian.
            Aku telah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian aku. Biarlah aku beralah supaya tidak timbul pertelingkahan. Biarpun aku satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, aku merasa menyerahkan bahagianku kepada adik-adik adalah jalan terbaik memandangkan aku sudah tiada tanggungan, anak-anakku kesemuanya telah berumahtangga.
“Ayah dapat yang mana?” Tipah lekas bertanya apabila aku bertandang ke rumahnya pagi itu.
“Ayah bagi habuan ayah pada yang lain.. Nak buat apa, ayah dah ada kebun salak, dah ada dusun durian, tapak rumah ayah tu pun cukup luas Pah..” jelasku padanya.
“Ikut ayahlah..” berkerut dahinya. Aku tahu dia membantah. Tapi keputusan aku muktamad.
Setelah perkabaran tentang keputusanku itu sampai kepada ketiga-tiga orang anakku. Ternyata mereka sungguh kecewa dengan tindakanku. Tipah, Syafie, dan Kalsom berkecil hati kerana aku seperti mengabaikan hak mereka sebagai pewaris hartaku.
“Sudahlah kita susah, kenapa ayah tak terima saja bahagian ayah. Bukan orang nak cakap apa pun, dah memang bahagian ayah kan?” protes Kalsom, anak perempuanku yang bongsu.
“Anak cucu orang senang-lenang. Anak cucu ayah, merempat!” tambah Syafie.
“Saya dengar Mak Ucu dah bagi tanah tu pada anak-anak dia. Ayah memang tak pernah fikirkan nasib anak-anak ayah kan?” sakit telingaku menahan amarah anak-anakku sendiri. Aku hanya menunduk bisu.
            Aku tidak pernah menyangka yang tindakanku menolak tanah pusaka yang sepatutnya menjadi milikku itu menimbul kemarahan mereka. Aku fikir yang anak-anakku tidak mahukannya. Apalagi yang mampu ku lakukan ketika ini. Mahu minta kembali hak ku? Mana mungkin. Di mana air mukaku sebagai seorang abang? Aku bingung.
            Mahu atau tidak, aku terpaksa menelan semuanya. Tetapi adakalanya aku terfikir, mengapa aku sebagai ayah tidak berhak membuat keputusan semahuku. Segala apa yang aku buat, selalu tidak kena di mata mereka.
            Anak-anakku mula menjauh. Kalau sebelumnya, setiap hari ada saja yang menelefon bertanya khabar. Kini mahu mendengar suara seminggu sekali pun payah. Yang dekat pula kini jarang-jarang menjengah. Marah benar pada ayah mereka yang tua ini. Adakalanya aku kasihankan isteriku yang saban hari menunggu panggilan telefon dari mereka.
            Cuti persekolahan hampir saja melabuhkan tirai. Namun, suasana rumahku masih suram. Tiada gelak-tawa anak cucuku seperti kebiasaan cuti sekolah. Isteriku lebih banyak termenung di tangga hadapan rumah. Kadang-kadang dia merenung kosong ke arah telefon. Aku tahu dia mengharap.
            Lain pula denganku yang merawat kerinduan dengan melayan anak-anak terungku di belakang rumah. Kemarau yang melanda membuatkan anak-anak terungku takut-takut untuk membesar. Batas-batas terung merekah teruk. Aku menyiram batas yang merekah itu berkali-kali. Aku gemburkan kembali batas kecil itu.
“Cepat la besar. Boleh anak cucuku makan..” ujarku sambil menepuk-nepuk debu pada daun anak terung itu yang merunduk hampir mencecah tanah.
            Teringatkan Tipah yang gemar merebus terung. Terung sedap dibuat ulam cicah bersama sambal belacan. Aku termenung lagi. Jika anak-anakku tahu yang tidak sekali pun kesukaan mereka luput dari ingatanku, pasti mereka tidak akan biarkan aku begini. Di tengah hangat bahang mentari, tubir mataku pecah.
            Setelah penat memanjakan anak terung, aku menapak ke dalam rumah. Kosong. Aku mencari kelibat isteriku. Terlihat dia sedang berteleku di atas sejadah, selesai menunaikan solat asar. Aku lihat air matanya jatuh mencurah-curah. Bersungguh-sungguh benar dia menangis. Hatiku begitu terusik.
            Selesai berwuduk, aku memanjat anak tangga menuju ke ruang solat. Aku sujud lama. Banyak yang perlu diminta. Pada usia-usia begini, seharusnya aku lebih kerap menambahkan amalan-amalanku. Pesanan demi pesanan Tok Guru Kassim bermain di mindaku.
“Orang yang memelihara sembahyang lima waktu akan terhindar dari seksaan kubur. Tetapi, bagi orang yang mengabaikannya, maka sewaktu dia mati, mayatnya akan dihimpit kubur sehingga berselisih tulang-tulung rusuknya..” aku beristighfar panjang.
            Selesai empat rakaat solat wajib, aku berzikir dan bertahmid memuji-muji kebesaran tuhan. Kemudian, tangan aku rapatkan menadah ke langit. Aku berdoa panjang. Memohon keampunan, dan keselamatan.
“Tuhan sebaik-baik tempat mengadu..” pesanan guru yang banyak berjasa itu tidak pernah aku lupakan. Disaat aku mengadu tentang kerinduanku itu, air mata merembes laju. Aku benci bertengkar dengan anak-anak. Aku tidak suka berjauhan dengan mereka. Ya Tuhan, sesungguhnya aku sedang berduka.
            Aku merebahkan badan di atas sejadah usang. Lelahku berkebun masih bersisa. Mata ku pejam rapat. Namun, tidak semena, nafasku menjadi sesak. aku bingkas dan gulungkan sejadah. Kembali meletakkan kepala di atas lipatan sejadah. Mata ku pejam kembali.
            Namun, tidak berkesan. Nafasku berombak-ombak. Aku terkapai-kapai menahan sakit. Dada ini terasa bagai mahu meletup. Dalam kepayahan, aku menyeru nama isteriku. Dia tergopoh-gapah datang bersama senduk di tangan.
            Dicapainya minyak angin dan dilumurkan padaku yang sudah tidak berbaju. Tangannya hangat menggosok-gosok dadaku, tetapi tidak sedikit pun dapat mengurangkan kesakitanku. Aku meraung kesakitan. Isteriku meluru ke tingkap dan menjerit memanggil jiran-jiran. Teruk sangatkah keadaanku? Aku ingin melarangnya, namun suaraku tersekat dikerongkong.
            Aku menumbuk-numbuk dada. Seperti ada sesuatu yang menyesakkanku di situ. Seluruh badanku basah dengan peluh.  Satu persatu wajah bertandang di hadapanku. Air mata yang sudah kering tadi, mengalir kembali. Sudah beberapa jam aku menahan kesakitan yang tiada penghujung.
“Sabar bang, mengucap..” ujar si isteri menahan sebak. Dia berusaha menahan tanganku dari terus menumbuk dada.
“Ayah.. sabar ayah..” Aku mencari dari mana datangnya suara Tipah. Tipah kini berada tepat di hujung kakiku.
Aku renung satu persatu wajah yang mengerumuniku. Wajah cemas mereka cuba ku amati. Kesemua mereka aku kenal. Jiran tetangga, saudara mara, kenalan rapat serta ketiga-tiga anakku. Mengapa mereka ke mari? Adakah aku tenat? Tetapi rasa sakit ini sememangnya kian memuncak. Urat-uratku menegang. Aku menggigil menahan sakit.
“Ya Tuhan, sakitnya! Aku nak mati dah ni..” lirih suaraku keluar dalam kepayahan.
“Jangan cakap macam tu ayah.. Ingat Tuhan!” Pie di sebelahku pula bersuara. Aku merenungnya sayu. Kalsom yang duduk bertentangan dengannya mengurut-ngurut dadaku bersama air mata yang lebat menghujani pipi. Ternyata sangkaanku meleset. Mereka tidak pernah membuangku.
“Mati dah aku kali ni..” ujarku lagi, memberitahu. Namun kali ini tiada siapa yang mendengar.
            Tipah menggantikan tempat ibunya memangku kepalaku. Sayup-sayup terdengar kalimah syahadah di corong telingaku. Aku mengamati wajah-wajah di hadapanku silih berganti. Syafie, Tipah dan Kalsom. Doaku makbul. Seluruh anak cucuku berhimpun di hadapanku sekarang. Aku genggam erat tangan isteriku disaat kesakitan menjalar ke pelusuk tubuh. Ingin meminta sedikit kekuatan. Tiba-tiba, jantungku bagai disentap kuat.
“Ayah!” telingaku sempat menangkap jeritan Tipah sebelum mata tertutup rapat dan tidak mampu ku buka lagi.
            Suara tangisan memenuhi ruang, saat tanganku terkulai di atas ribaan isteri. Selamat tinggal kebun salak. Selamat tinggal anak ayam. Selamat tinggal batas terung. Yang pasti, selepas ini aku tidak akan bertengkar lagi dengan anak-anak. Semoga aku sentiasa dekat di hati mereka. Kemudian, bergema alunan Surah Yasin dari ruang tempat kembalinya seorang hamba kepada Pencipta.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...