Saturday, January 11, 2014

#1 Ibu, Adib mahu.....

Adib menapak payah memasuki pagar sekolah. Bebanan buku-buku di dalam beg sekolahnya membuatkan Adib sedikit membongkok. Adib kelihatan begitu kecil berbanding beg sekolahnya. Adib cuba melajukan langkah, demi mengejar abang longnya yang sudah jauh di hadapan.

"Danish, tunggulah Adib!" jerit Adib. 
Namun masakan Danish yang sudah hilang di balik bangunan blok A yang tersergam indah itu mampu mendengar jeritan Adib. Adib mengeluh sendiri. Bersusah payah Adib memanjat tangga blok A bagi menuju ke kelasnya, 1 Anggerik.

Kalau Adib tahu buku-buku sekolah ni banyak dan tebal-tebal belaka, pasti awal-awal lagi Adib mengangguk setuju apabila ibu suruh Adib beli beg sekolah beroda. Sebal hati Adib apabila hari ini ibu tidak mahu menghantar Adib sehingga ke pintu kelas seperti hari-hari sebelumnya. 

Hari ini merupakan minggu kedua persekolahan. semangat Adib masih berkobar-kobar. Namun apa yang menggundah-gelanakan hati Adib, Adib tetap yang paling rendah di antara semua pelajar darjah 1. Adib risau kelemahannya ini menjadi bahan ejekkan kawan-kawan di sekolah. Adib sudah membuat kaji selidik di setiap kelas. Rata-rata murid tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi mempunyai ketinggian antara 105cm hingga 120cm. Hanya Adib sahaja yang mempunyai ketinggian aneh iaitu 95cm, setara ketinggian budak 4 tahun. Sedihnya Adib!

Setibanya di kelas 1 Anggerik, Adib menghenyakkan badan ke kerusi. Kepalanya dilentokkan  ke atas meja hijau lumut miliknya. Adib mahu menghilangkan lelah sebelum turun semula ke tapak perhimpunan. Dalam hati, Adib menyumpah-nyumpah beg sekolahnya yang terasa begitu membebankan. Sudahlah badannya kecil, beg galas pula besar lagi berat. Semuanya gara-gara abang long yang mempertikaikan cadangan ibu  untuk membelikan Adib beg sekolah beroda. Abang long sekeras-kerasnya membantah, dengan alasan beg beroda hanya untuk budak perempuan.

Walhal, sewaktu hari pendaftaran kelmarin, jelas-jelas Adib nampak ramai pelajar lelaki yang menarik beg beroda. Geram betul Adib dengan saranan mengarut abang long. Adib sebenarnya sudah betul-betul berkenan dengan beg beroda warna merah yang mula-mula Adib belek di pusat membeli-belah tempoh hari.

kriiiinggg! kringgg!
Bunyi loceng menghentikan lamunan Adib. Adib bingkas bangun dan berjalan laju menuju ke tapak perhimpunan. Sempat dia menoleh sekilas ke arah beg galas berwarna biru miliknya yang tersangkut kemas di belakang kerusi. Adib nekad, 'ibu, Adib mahu beg beroda, warna merah!'

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...